Anda pernah buat transaksi jual beli tunai? Jika pernah, pasti juga tahu transaksi terbitan (derivative) dari tunai ialah transaksi bertangguh atau berhutang. Dalam skala yang besar, transaksi hutang ini adalah sangat penting untuk tujuan pengurusan risiko bagi pihak-pihak tertentu.
Analogi transaksi tunai – Saya nak beli minyak masak satu botol 5kg, jadi saya ke kedai runcit beli minyak masak dan bayar tunai.
Analogi transaksi forward – Saya nak beli minyak masak 20 botol bersaiz 5kg, tapi saya nak guna pada bulan hadapan. Jadi saya pergi bayar deposit kepada taukey kedai runcit 10% sebagai janji dan 90% bakinya saya akan bayar semasa saya ambil minyak di kedai runcit yang sama.
Analogi transaksi futures – Saya nak beli minyak kelapa sawit mentah sebanyak 25 tan metrik dan saya perlukannya 3 bulan lagi. Jadi saya buka akaun Futures di broker RHB (contoh untuk mudahkan fahaman). Saya dikehendaki bayar satu amaun yang dikenali sebagai Initial Margin sebagai duit janji. Seterusnya saya beli (BUY) 1 lot kontrak 3 bulan hadapan. Selepas kontrak expired, saya akan bayar baki selepas ditolak dengan initial margin (dan lain-lain caj) untuk proses delivery minyak.
Walau kedua-dua transaksi forward dan transaksi futures adalah hutang, perbezaan ketara adalah pihak yang terlibat. Untuk transaksi Forward boleh berlaku antara 2 pihak sahaja iaitu pembeli dan penjual. Kualiti barang dagangan adalah seperti yang dipersetujui oleh dua pihak itu sahaja.
Manakala transaksi Futures melibatkan 3 pihak iaitu pembeli, penjual dan pihak pengantara iaitu exchange. Di Malaysia, exchange yang terlibat adalah Bursa Malaysia Derivative (BMD). Kualiti barang dagangan adalah standard seperti yang telah ditetapkan oleh pihak BMD. Jadi sejak dari awal lagi pembeli sudah tahu berapa banyak dia akan dapat dan bagaimana kualiti minyak tersebut. Manakala dari pihak penjual, sudah tahu berapa banyak harus dihantar dan begitu juga kualiti minyak yang perlu dipatuhi. Pembeli tak semestinya dapat semua minyak dari penjual yang sama, tapi kualiti minyak adalah dijamin ikut standard yang ditetapkan.
Jadi Futures adalah pasaran terbitan (derivative) dan ia boleh dianggap sebagai satu pasaraya yang sangat besar. Di dalamnya terdapat pelbagai produk yang dipanggil “instrument“. Jadi jika anda baca instrument, ia merujuk kepada produk yang didagangkan. Di BMD, terdapat bermacam-macam instrument termasuklah Crude Palm Oil Futures (FCPO), Gold Futures (FGLD), USD Tin Futures (FTIN) dan lain-lain.
Jadi setakat ini boleh difahami yang FCPO adalah instrument (produk) yang didagangkan di pasaran Futures. Ingat ya, futures bukanlah terhad kepada FCPO. Ia adalah pasaran, selain FCPO ada bermacam-macam lagi produk dagangan. Ia juga tak terhad kepada exchange BMD di Malaysia, malah bermacam-macam lagi exchange yang popular seperti CME, NYMEX, CBOT, ICE, dan NYSE. Tapi untuk post kali ini, cukuplah kita kenal apa itu futures, apa itu FCPO dan berkenalan dengan Bursa Malaysia Derivative.
p/s: Sekiranya nak tahu lebih lanjut tentang Futures, saya telah kongsikan coretan pengalaman saya terjebak dengan Futures trading. Boleh dapatkan di sini. —>>> KLIK SINI
Terima kasih tuan. Baru belajar-belajar pasal FCPO.
Sama-sama 🙂